IPOH - Dua calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sebuah sekolah menengah di sini mendakwa mengalami kecederaan selepas dibelasah menggunakan batang besi oleh pengawal keselamatan di sekolah mereka.
Seorang daripada mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Chong berkata, ketika kejadian, pengawal keselamatan terbabit enggan membenarkan dia dan enam rakannya keluar dari kawasan sekolah walaupun mendapat kebenaran guru.
Menurutnya, insiden tersebut berlaku kira-kira 400 meter dari pekarangan sekolahnya.
“Dia pukul saya guna batang besi sebab saya dan rakan-rakan tak mahu layan permintaan dia supaya beri RM10 kepadanya sebagai kebenaran untuk keluar dari sekolah,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat MCA Perak, di sini kelmarin.
Chong berkata, akibat dibelasah, dia cedera di mata dan tangan kirinya.
“Tangan kiri saya retak akibat dipukul dengan besi berkenaan, manakala bahagian bawah mata kiri luka disebabkan kena tumbuk.
"Kejadian itu menyebabkan saya takut ke sekolah untuk ambil peperiksaan,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi mangsa, Fong berkata, dia turut cedera di muka akibat ditumbuk pengawal keselamatan terbabit.
Katanya, pada pagi hari kejadian dia dibaling dengan tong sampah oleh lelaki terbabit disebabkan lewat masuk ke sekolah untuk menduduki peperiksaan.
"Walaupun kecederaan hampir sembuh, saya minta polis siasat pengawal itu,” katanya.
http://www.sinarharian.com.my/semasa/dibelasah-kerana-enggan-beri-rm10-1.456552
No comments:
Post a Comment